Cerpen ini mengisahkan kehidupan seorang gadis bernama Neerza yang merupakan anak jati pedalaman Kulim. Dalam kemiskinan kelurga, Neerza kaya jiwa dalam beragama. Sopannya menyejukkan hati, bakat penulisannya sering dicemburui. Namun jauh di sudut sanubari, Neerza akur akan kekurangan diri yang tertulis sejak azali. Kekurangan yang menjadi rahsia buat mereka yang tidak pernah bertentang mata. Sejak dianugerahkan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) melalui cerpennya ‘Tarian Tempang Si Gadis Desa’, nama Mawar Merah sering meniti di bibir peminat puisi dan cerpen seluruh negara. Di sebalik nama pena tersebut, tidak ramai yang mengenali siapa Neerza sebenarnya.
Lewat usia remajanya, Neerza mula merasai manisnya cinta setelah mengenali seorang jejaka tanpa sengaja, jejaka tampan peminat setia nukilannya. Cinta yang mekar tanpa dipinta, mewangi dan terus mewarnai diari harinya. Walaupun tidak pernah menghadap muka namun gelaran ustaz muda yang menjadi milikan si jejaka terus meyakinkan Neerza akan kekuatan emosi dan kematangan akalnya. Aqmar merupakan anak muda lulusan Kuliyah Syariah wal-Qanun, Universitas Al-Azhar, Mesir. Perhubungan jarak jauh melalui kiriman e-mail akhirnya mengikat dua hati untuk sehidup semati. Dalam diam, Neerza terus buntu dan membatu, hanya berserah kepada kekuatan dan keikhlasan cinta Aqmar yang sering berfalsafah bahawa cinta sejati tetap utuh berpaksikan redha Yang Esa, tanpa memandang rupa dan harta.
Beberapa purnama berlalu, rombongan lamaran pihak lelaki akhirnya tiba dan disambut penuh mesra. Namun, sebaik Neerza muncul di hadapan mata, semua memandang tidak percaya. Neerza yang muncul bersahaja dengan berkerusi roda ternyata menebak minda semua. Lahirnya tidak sempurna rupa, zahirnya lumpuh semua, tiada upaya mengurus segala. Neerza ditakdirkan lumpuh sejak menghidap demam kuning pada awal kelahirannya. Akibatnya, dia tidak mampu berdiri tegak, tidak mampu berpaling dan mendongak serta tidak mampu pantas bergerak. Nasib mindanya cukup tajam & jemarinya cukup sifat bagi membolehkan dia bergelar penulis yang hebat.
Pasca peristiwa itu, Neerza terlalu kecewa dengan penolakan Aqmar walhal kedua ibubapanya, Bilal Hasyim & Mak Gayah tidak pernah menghalang perhubungan mereka. Ternyata Aqmar tidak cukup hebat untuk redha dengan hakikat kejadian insan sekerdil dan selemah diri Neerza. Akhirnya, sikap Neerza yang sopan mula berubah dan memberontak, sabarnya hilang memunculkan dendam. Pernah dia cuba bertindak mengelar urat nadi sendiri kerna tidak sabar untuk mati! ‘Jelas sekali bahawa Neerza si gadis solehah telah kalah dengan mainan cinta dan Aqmar si jejaka alim telah tewas dengan mainan rasa.’
Tiada ulasan:
Catat Ulasan