Ping Dr Busuk

Anak Derhaka kerana Isteri tercinta...

Assalamualaikum dan selamat membaca

-Diceritakan oleh Ustaz Mohamad Din Yusoh
Utas Travel and Tours Sdn.Bhd.


Beberapa hari selepas kami berada di Mekah, saya mula terdengar cerita-cerita daripada jemaah yang saya bawa tentang hubungan dingin antara seorang ibu dengan anak lelaki dan menantunya. Si ibu berusia 60-an sementara anak dan menantunya akhir 30-an. Mereka bertiga ialah antara beberapa ratus jemaah yang saya bawa untuk mengerjakan haji beberapa tahun lalu.

Saya diberitahu, hubungan dingin itu sebenarnya bermula sejak di Malaysia lagi kerana wanita berkenaan kurang senang dengan perangai menantunya yang sombong dan mengongkong suami. Kerana hidup dalam kemewahan, menantunya itu tidak menghormati wanita berkenaan selayaknya sebagai mentua, apatah lagi seperti ibunya sendiri.

Seperkara lain yang wanita itu benar-benar kecewa ialah biarpun anaknya itu ahli perniagaan berjaya, tetapi apabila berhadapan dengan isteri, dia jarang membantah, apa lagi mengangkat suara. Apa sahaja kehendak isteri diturutkan walaupun kadangkala menyinggung perasaan ibu dan keluarganya.

Walaupun telah bertahun-tahun mendirikan rumahtangga, wanita tersebut kesal kerana anak dan menantunya itu amat jarang balik ke kampung. Apatah lagi hendak tidur disana. Kalau singgah pun menantunya tidak mahu berada lama di rumahnya. Pelbagai alasan diberi supaya mereka cepat berangkat pulang.

Si ibu tadi telah menasihatkan anaknya supaya menegur sikap buruk isterinya itu, tetapi ia seperti tidak dilayan. Menantunya terus bongkak dan sombong. Si ibu juga mengingatkan anaknya jangan terlalu menurut kehendak isteri, namun dari sehari ker sehari, anaknya itu tetap mengikut telunjuk isterinya.

Saya dimaklumkan juga, wanita tersebut berkecil hati kerana menantunya tidak senang dengan kehadirannya di Mekah. Kalau boleh dia mahu pergi ke tanah suci bersama suaminya sahaja tetapi kerana lelaki berkenaan berkeras juga hendak membawa ibunya sekali, dia terpaksa mengalah, namun dengan bibir yang memuncung panjang dan kata-kata sinis serta sindiran tajam. Kerana itulah sejak sampai ke Madinah dan Mekah hubungan dingin itu menjadi semakin parah.

Oleh kerana mereka tinggal sebilik, si anak dapat melihat sendiri di depan matanya hubungan buruk antara ibu dengan isterinya. Pada mulanya dia tidak mengendahkan sangat kerana kedua-duanya orang yang dia sayang. Tambahan pula dialah yang membayar semua perbelanjaan mereka bertiga untuk ke Mekah.

Tetapi semakin hari perselisihan faham itu bertambah parah. Hubungan ibu lelaki tadi dengan isterinya semakin buruk. Bukan sekali mereka bertegang leher. Si ibu yang telah agak lanjut usianya, pastilah hendak supaya sentiasa dilayan hati dan perasaannya. Tetapi menantunya pula sombong dan panas baran. Dia tidak suka melayan kehendak mentuanya itu yang baginya cerewet.

Akibat perselisihan faham, mereka tidak menegur sapa dan si ibu pula enggan memakan makanan yang dimasak oleh menantunya itu. Ini menyebabkan si anak tadi terpaksa membeli makanan diluar untuk ibunya.

"Macam mana isteri kau nih Man. Emak pun tak dihormatnya. Emak minta tolong sikit dia membebel. Emak nak itu dia tak layan, nak ini, dia tak peduli, "rungut si ibu kepada anaknya.

"Abang tengok-tengoklah sikit emak abang tu. Cerewet, nak itulah, nak inilah, macam-macam. Saya dah cakap jangan bawa abang nak bawa juga. Hah...sekarang macam mana?" kata si menantu pula dengan suara yang kasar.

Kedua-duanya memberikan alasan masing-masing hingga si anak berasa amat tertekan. Hendak dimenangkan ibunya, khuatir isteri bermasam muka. Hendak dimenangkan isteri, khuatir ibunya pula terasa hati. Jadi sedaya yang boleh dia cuba memekakkan telinga dan membutakan mata daripada pertelingkahan itu.

Perbalahan mereka tiga beranak terbawa-bawa keluar. Apabila berjalan, duduk di meja makan atau bersiar-siar, masing-masing membawa arah sendiri. Akhirnya masalah itu dihidu oleh jemaah-jemaah lain. Mereka mula menjadi perhatian. Begitu juga saya. Pelbagai cerita yang saya dengar tentang mereka.

Selepas lama berselisih faham, si anak sedikit demi sedikit menyebelahi isterinya. Bagi lelaki itu, ibunya yang bersalah kerana terlalu banyak meminta, cerewet dan terlalu ambil hati.

"Orang tua, macam tulah yang," kata lelaki itu memujuk isterinya.

Suatu hari, si ibu memanggil anaknya. "Man, boleh tak kau belikan sejadah untuk emak? Di kedai bawah tu aja, "katanya. "Emak nak berapa?" soal anaknya. "Dalam 10 helai." "Eh, nak buat apa banyak-banyak?" soal si anak lagi. "Alaaah....nak buat kenangan, lebih tuh nak kasi pada kawan-kawan dan orang kampung. Dapat juga pahala, kau pun dapat pahala sama," kata si ibu dengan tersenyum.

Mendengar permintaan mentuanya itu, isteri si anak menarik muka masam. Matanya merenung tajam wajah suaminya sebagai isyarat "jangan layan!" Kemudian mukanya ditoleh ke arah lain. Ekoran itu, si anak yang pada mulanya mahu menuruti permintaan ibunya, kembali ke tempat duduk.

"Tak bolehlah mak. Saya penatlah. Nantilah bila nak balik nanti saya belikan," jawab si anak.

Tetapi kata-kata itu menyebabkan ibunya berkecil hati. Dia kecewa anak kesayangannya itu sanggup mengetepikan permintaannya, sebaliknya menurut saja apa kata isteri.Lantas dia berkata,"Kau nih Man,emak nak benda tu pun tak boleh beri. Tapi kalau orang rumah kau, dah sampai penuh begnya pun kau nak belikan barang lagi. Emak ni kau belikan sedikit aja. Sampai hati kau Man."

Sepatutnya kata-kata ibu tadi diterima dengan keinsafan tetapi tanpa disangka anaknya naik berang.Dengan meninggikan suara, dia memarahi ibunya.

"Emak ni! Apa mak nak buat dengan barang-barang tu? Mak kan dah tua, buat apa nak beli itu beli ni. Isteri saya adalah sebab saya beri macam-macam, sampai penuh beg. Saya ada anak. Saya nak belikan barang-barang untuk anak kami juga!" katanya dengan muka masam mencuka. Dadanya turun naik menahan marah. Isterinya pula tersenyum puas.

Si ibu terkejut, lantas berkata, "Sampai hati kau cakap macam tu dengan emak. Aku ni emak kau, tak boleh kau tengking herdik. Kalau sayang bini pun janganlah sampai emak sendiri engkau ketepikan, engkau marah-marah, "katanya dengan kecewa.

Si anak bertambah berang. "Emak tu dah tua,buatlah cara tua! Jangan nak minta itu minta ini!"

Ibunya makin terkilan.Hatinya begitu hancur apabila anak yang dipeliharanya sejak kecil dengan penuh kasih sayang sanggup mengherdiknya sebegitu rupa. Tindakan anaknya yang sudah melampau itu menyebabkan si ibu marah.

Sambil merenung tajam wajah anaknya, si ibu berkata, "Man, Aku ni emak kau tau. Aku yang lahirkan engkau. Bila masa isteri engkau beranakkan kau? Bila masa dia besarkan kau?

"Ingat Man, emaklah yang susah payah jaga kau, cari duit nak besarkan kau, hantar ke sekolah sampai kau berjaya sekarang. Tapi bila dah berjaya kau buat emak macam ni. Isteri kau lebihkan daripada emak kau sendiri. Dengan isteri kau cakap dengan baik tapi emak kau sendiri kau tengking-tengkingkan."

Dan dengan suara tegas si ibu tadi menyambung, "Kalau beginilah sikap engkau Man, mulai hari ini emak haramkan susu emak yang dulunya kau minum!"

Takdir Allah, serentak dengan kata-kata si ibu tadi,anaknya terus jatuh terjelepok ke lantai. Bagai panahan petir, kata-kata tersebut seolah-olah "membunuh" si anak tadi serta-merta. Begitu cepat balasan Allah kepada hamba-Nya. Tanpa menoleh kepada anaknya yang terbaring di lantai, si ibu tadi bergegas keluar dari biliknya. Sambil berjalan dia mengesat air matanya yang menitis dengan lengan bajunya. Dia tidak menoleh ke belakang lagi. Sementara itu si anak pula terkulai dengan mata terkebil-kebil. Badannya longlai dan lembik. Isterinya pula menangis tersedu-sedu.

Sejak itu kesihatan si anak mula terganggu. Badannya seperti sedang sakit, namun apabila diperiksa, doktor gagal mengesan apa puncanya. Bagaimanapun, bala yang menimpanya itu masih gagal menyedarkan si anak tadi. Dia dan isterinya tetap enggan bertegur sapa dengan ibunya. Apa yang telah menimpanya langsung tidak diambil iktibar. Bagi lelaki berkenaan, apa yang berlaku bukanlah balasan Allah dan tubuhnya tidak sihat juga bukan satu petunjuk daripada Allah tentang kesilapannya. Ia cuma kebetulan.

Tinggallah si ibu tadi memendam perasaan kesal dan kecewa. Biarpun duduk sebilik dia diasingkan oleh anak dan menantunya sendiri. Makanan dan minuman terpaksa dia pergi membelinya di luar. Di bilik, dan apabila berada di luar dia lebih banyak termenung dan menangis. Jika jemaah lain bertanya mengapa, atau di mana anak dan menantunya, wanita tersebut tidak menjawab. Sebaliknya terus menangis dan menangis.

Anak yang derhaka tidak akan terlepas daripada balasan Allah. Kesihatan si anak tadi semakin buruk. Badan dan kakinya lemah hingga dia tidak terdaya untuk berdiri sendiri. Akibatnya si anak itu terpaksa dipapah dan diusung semasa wukuf, sai, melontar jamrah, tawaf dan sebagainya. Badannya benar-benar lemah untuk melakukan ibadah-ibadah tersebut.

Sementara itu, kerana tidak ada lagi tempat bergantung, si ibu tadi menunaikan haji bersama-sama kami, dengan bantuan dan pertolongan kami, bukan oleh anak dan menantunya. Masing-masing menjauhkan diri dan tidak bertegur sapa seolah-olah tidak kenal antara satu sama lain. Suatu hari saya menemui wanita tersebut.

"Mak aji...sudahlah tu. Maafkanlah anak makcik tu. Yang lepas tu lepaslah, dia dah terima balasannya,"kata saya.

Wanita itu cuma mendiamkan diri. Dia menangis dan mengesat air matanya yang gugur. Saya terus juga menasihatkannya, tapi seperti tadi, wanita itu langsung tidak mahu menjawab barang sepatah pun. Dia sebaliknya cuma menangis. Dari raut wajahnya ternyata dia benar-benar kesal dengan sikap anak dan menantunya hingga dia tidak sanggup lagi bercakap tentang mereka.

Selepas itu saya menemui anaknya pula.Lelaki berkenaan seolah-olah terpinga-pinga dan tidak tahu apa yang telah berlaku dan apa yang sepatutnya dibuat untuk menyelesaikan masalah tersebut.Isterinya pula cuma mencebikkan bibir bila saya sebut nama mentuanya.

Begitulah keadaan mereka hingga selesai musim haji dan seterusnya kembali ke tanah air. Sejak itu saya tidak menghubungi mereka lagi. Khabar yang saya terima memang mengejutkan. Saya diberitahu, sejak pulang ke tanah air si anak tadi sakit terus-menerus. Penyakitnya agak kronik dan gagal diubati doktor.

Namun dalam tempoh itu hubungan mereka tiga beranak tetap tidak berubah. Anak yang telah mendapat balasan Allah juga masih tidak insaf dengan kesilapannya. Ibu pula yang telah terkilan dengan sikap anaknya, tetap enggan memaafkannya. Sejak kembali dari Mekah,mereka langsung tidak mengunjungi antara satu sama lain.

Berita terakhir saya terima ialah lelaki terbabit telah meninggal dunia selepas

menderita sakit selama 10 tahun.

"TUHANMU TELAH MEMERINTAHKAN HENDAKLAH KAMU TIDAK BERBAKTI KECUALI KEPADA-NYA DAN BERBUAT BAIK KEPADA ORANG TUA, JIKA SALAH SATU ANTARA MEREKA ATAU KEDUA-DUANYA SUDAH SAMPAI UMUR TUA DAN BERADA DALAM PEMELIHARANMU, MAKA JANGANLAH KAMU KATAKAN KEPADA MEREKA ITU KATA-KATA "AH", DAN JANGAN KAMU BENTAK MEREKA TETAPI KATAKANLAH KEPADA MEREKA BERDUA KATA-KATA MULIA. DAN RENDAHKANLAH TERHADAP MEREKA BERDUA SAYAP KERENDAHAN KERANA KASIH, DAN DOAKANLAH KEPADA TUHANMU: BERILAH RAHMAT KEPADA MEREKA ITU SEBAGAIMANA MEREKA TELAH MEMELIHARAKU PADA WAKTU AKU MASIH KECIL."

[Surah al-Israa' 7:23-24.]

Diriwayatkan oleh Hakim, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:

"SEMUA DOSA AKAN DITANGGUHKAN OLEH ALLAH SAMPAI HARI KIAMAT NANTI APA SAHAJA YANG DIA KEHENDAKI KECUALI DERHAKA KEPADA ORANG TUA, MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH AKAN MENYEGERAKAN KEPADA PELAKUNYA DALAM HIDUPNYA SEBELUM MENINGGAL DUNIA."

Sumber

Wanita Suka Mengumpat Sulit Dikafankan

Assalamualaikum dan selamat membaca

Sebagai bilal pengurusan jenazah, banyak pengalaman yang telah saya tempuhi. Ada di antaranya yang cukup menyedihkan. Tidak kurang juga yang benar-benar memberi keinsafan.


Salah satu daripada pengalaman-pengalaman itu membabitkan masalah kain kapan tidak muat pada hal mayat yang hendak di kapankan bersaiz kecil. Ini bertentangan dengan satu lagi mayat yang saya uruskan, di mana kain kapannya mencukupi walapun orangnya berbadan tinggi dan gemuk.

Sepanjang pengelaman saya dalam pengurusan jenazah sejak lebih 30 tahun lalu, saya mengunakan kain kapan sebanyak 24 ela untuk mengapankan mayat. Jumlah itu selalunya mencukupi tidak kira sama ada mayat bersaiz besar atau kecil, gemuk atau kurus. Tetapi sewaktu menguruskan satu jenazah di negeri Selangor beberapa tahun lalu, kain kapan sebanyak 24 ela yang saya sediakan itu tidak mencukupi pada hal mayatnya kecil sahaja. Mayat itu berkeadaan biasa, berbadan kurus dengan ketinggian lebih kurang lima kaki. Saya di beritahu arwah meninggal dunia kerana sakit jantung.

Orangnya sudah tua, umurnya sekitar 60-an.Seperti biasa sebelum memandikan mayat, saya memotong dahulu kain kapannya sebanyak tiga keping. Panjangnya mengikut ketinggian arwah kemudian di tambah satu hasta di hujung kepala dan satu hasta di hujung kaki. Selepas semuanya siap disusun, saya mula memandikan arwah dengan bantuan adik saya, Rafeah. Tiada keanehan ketara berlaku semasa arwah di mandikan, cuma mukanya agak kuning dan najisnya, Maha

Suci Allah amat banyak. Makin dikorek makin banyak yang keluar.
"Eh, ada lagi najis", kata adik saya Rafeah kehairanan. Selalunya tidak sampai setengah jam, najis sudah habis keluar tetapi yang ini, lebih 45 minit baru habis. Setelah lebih dua jam berlalu, baru selesai tugas kami memandikan mayat itu.

Selalunya satu setengah jam sudah mencukupi.
Bila semuanya sudah bersih, arwah dipindahkan untuk dikapan. Sebaik sahaja arwah diletakkan ke atas kain kapan, saya terperanjat besar bila mendapati kain putih yang saya sediakan tadi tidak muat. Entah macam mana kain kapan di hujung kepala dan di hujung kakinya cuma tinggal satu jari sahaja.

"Eh, kenapa tak cukup. Takkan salah potong", saya berkata pada adik saya. Wajahnya turut berkerut kehairanan bila mendapati kain kapan yang kami sediakan itu tidak muat. Kami berdua sama-sama bingung dan bertanya-tanya di mana silapnya. Nak katakan saya tersalah ukur semasa memotong tadi, mustahil. Rafeah sendiri menyaksikan dan membantu saya memotong kain itu.

Sudah bertahun-tahun kami berdua melakukan perkerjaan ini, tidak mungkin kami tersalah potong. Nak katakan pembekal kain bersalah ukur, juga tidak mungkin. Sebelum memotong, kami mengukur terlebih dahulu kain kapan itu dan mendapatinya cukup 24 ela. Setiap kali berlaku kematian, orang yang sama itulah yang membekalkan kain kapan kepada saya.

Tidak mungkin dia tersalah ukur. Saya mula berkecimpung dalam pengurusan jenazah sejak berusia 17 tahun lagi. Waktu itu saya mengikut nenek saya menguruskan jenazah di kawasan Klang sebelum di lantik sebagai bilal pengurusan jenazah wanita oleh Jabatan Agama Islam Selangor pada tahun 1973.
Sepanjang tempoh pembabitan saya dalam bidang itu, inilah kali pertama saya berdepan dengan masalah saya berdepan dengan masalah kain kapan tidak muat. Mungkin inilah yang dikatakan habuan dan bahagian masing-masing.

Entah apa amalan arwah semasa hayatnya hanya Tuhan sahaja yang mengetahui. Semoga Tuhan mengampunkan segala dosanya dan mencucuri rahmat di atas rohnya. Untuk menambah kain putih yang lain, dah tak ada. Kain yang saya bawa itu semuanya sudah di pakai, tiada lagi saki-bakinya. Mahu tak mahu mayat arwah dikapankan juga menggunakan apa yang ada.

Maha Suci Allah, saya sekali lagi teperanjat beser bila mendapati kain kapan itu tidak mencukupi untuk membungkus mayat arwah. Bahagian tengahnya ternganga seperti membungkus nasi lemak. Selalunya kain kapan yang saya sediakan boleh menutup hingga ke bahagian tepi. Puas saya tarik untuk cuba menutup bahagian yang ternganga tetapi gagal. Untuk mengatasi masalah itu, saya terpaksa menggunakan kapas untuk menutup bahagian yang ternganga sebelum mengikatnya kemas-kemas.

Sebaik sahaja selesai kerja-kerja mengapan, arwah disembahyangkan kemudian dibawa ke tanah perkuburan. Dan dengan itu selesailah kewajiban saya. Namun cerita-cerita daripada salah seorang yang membantu kerja-kerja pengebumian jenazah membuatkan diri saya menjadi bertambah bingung. Menurutnya, semasa jenazah hendak dikebumikan, satu keanehan berlaku yang benar-benar memberi keinsafan kepada sesiapa sahaja yang hadir. Ketika jenazah diturunkan, liang lahad yang disediakan didapati tidak cukup panjang hingga menyebabkan bahagian kaki jenazah membengkok. Akibatnya, jenazah terpaksa ditarik naik dan liang lahad digali semula.

Bila kubur siap di gali, jenazah diturunkan untuk kali kedua. Allah Maha Besar, liang lahad masih sempit walaupun telah digali melebihi enam kaki. Setiap yang hadir bertambah hairan. Apakah amalannya hingga diseksa begitu rupa? Jenazah dinaikkan semula dan liang lahad ditebuk lagi untuk kali ketiga. Bila selesai kerja-kerja menggali, jenazah diturunkan.

Alhamdulillah, cubaan kali ketiga berjaya dan jenazah akhirnya selamat dikebumikan. Masing-masing menghembus nafas lega. Apa yang berlaku pada jenazah itu memanglah menyedihkan. Saya sendiri tertanya-tanya bagaimana kain kapan yang saya bawa itu tidak muat dengannya. Untuk memastikan kedudukan sebenarnya, saya pergi ke kedai yang membekalkan kain kapan kepada saya untuk bertanya berapa banyak kain putih yang dibekalkan kepada saya. Jika betul 24 ela, kenapa kain itu tidak cukup sedangkan mayat yang dikapankan bersaiz kecil. Jawapan yang diberikan oleh pekedai itu menyedarkan saya tentang kebesaran Allah.

Menurutnya, kain putih yang dibekalkan kepada saya sama seperti kebiasaannya, ia itu 24 ela. Jika kainitu tidak mencukupi itu bukanlah salah sesiapa sebaliknya merupakan ketentuan Allah. Maha Suci Allah Allah, memang benar apa yang dinyatakan oleh pekedai itu. Apa yang berlaku ke atas jenazah itu merupakan balasan daripada Allah. Mungkin ada di antara amalan-amalannya yang bertentangan dengan ajaran Tuhan. Entah apa yang dilakukan oleh allahyarham semasa hayatnya, wallahualam, hanya Tuhan sahaja yang mengetahuinnya.

Tetapi daripada cerita-cerita yang saya dengar, arwah dikatakan menpunyai tabiat buruk - suka mengumpat dan mengatakan orang. Tidak cukup dengan itu, arwah juga dikatakan suka mengambil tahu urusan orang serta gemar membawa mulut dari rumah ke rumah. Bukanlah niat saya untuk membongkarkan keburukan arwah tetapi sekadar memberi nasihat. Semoga apa yang berlaku menjadi pengajaran dan memberi pedoman dan iktibar mereka yang masih hidup. Hindarkan perkara- perkara keji demi kesejahteraan kita sendiri.

Pengalaman yang cukup menginsafkan itu jauh berbeza dengan apa yang saya lalui semasa menguruskan satu lagi jenazah kira-kira sebulan kemudian. Orangnya saya kenal, berbadan gemuk dan berusia sekitar 50- an. Punca kematiannya ialah darah tinggi. Sewaktu menatap jenazahnya untuk kali petama, saya mendapati mukanya tenang dan jernih. Walaupun bertubuh besar, tetapi Maha Suci Allah, badannya lembut dan ringan. Saya dan adik saya Rafeah tidak mengalami sebarang masalah untuk mengalih-alihkan badannya. Najisnya tak ada langsung. Puas kami menekan dan mengorek, tetapi tiada sebarang kesan najis.

"Bersih betul mayat ini", saya berbisik kepada Rafeah. Tiada langsung kesan kotoran pada tubuhnya, seolah-olah dirinya telah di bersihkan sebelum menghembus nafas terakhir. Seronok betul kami menguruskannya. Mayat itu selesai di mandikan dalam tempoh tidak sampai sejam. Sewaktu hendak mengapan jenazah, kami berdua pada mulanya di selubungi kebimbangan takut-takut peristiwa kain kapan tidak muat berulang lagi. Maklumlah, sedangkan jenazah kecil pun tak muat inikan pula jenezah yang besar. Tetapi syukur alhamdulillah, kain kapan yang kami bawa sebanyak 24 ela itu cukup untuk menutupi seluruh bahagian. Selesai kerja-kerja mengapan jenazah disembayangkan.

Kerana terlalu ramai yang hadir, jenazah disembahyangkan dua kali. Kali pertama di rumah dan kali kedua di masjid. Jenazah akhirnya dibawa ke tanah perkuburan dan selamat dikebumikan. Perjalanan lancar tanpa sebarang halangan. Saya sendiri berasa seronok menguruskannya. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Arwah memang dikenali di kalangan penduduk-penduduk kampungnya sebagai seorang yang kuat beribadat. Sifatnya yang suka bersedekah dan menolong orang ternyata mendapat balasan yang setimpal. Keadaannya jauh berbeza dengan jenazah kurus yang tidak muat kain kapannya. Bukan menghina atau mencaci tetapi itulah hakikatnya.

Perbezaan itu jelas menunjukkan betapa pentingnya kita hidup berlandaskan agama. Buatlah apa yang disuruh dan tegah apa yang di larang, insya-Allah selamt didunia dan akhirat.

sumber

Kisah Benar: Abah...Bagi Balik Tangan Ita

Assalamualaikum dan selamat membaca



Suatu hari dia terjumpa sebatang paku karat. Dia pun melakar simen tempat letak kereta ayahnya tetapi kerana diperbuat daripada marmar,lakaran tidak kelihatan. Dicubanya pada kereta baru ayahnya. Ya….kerana kereta itu bewarna gelap, lakarannya jelas. Apa lagi kanak-kanak ini pun melakarlah melahirkan kreativitinya. Hari itu bapa dan ibunya bermotosikal ke tempat kerja kerana laluannya sesak sempena perayaan Thaipusam.

Penuh sebelah kanan dia beredar ke sebelah kiri kereta. Dilakarnya gambar ibu dan ayahnya, gambarnya sendiri, lukisan ayam, kucing dan sebagainya mengikut imaginasinya. Kejadian itu langsung tak disedari si pembantu rumah.

Pulang petang itu, terkejut besar pasangan itu melihat kereta yang baru setahun dibeli dengan bayaran ansuran yang belum habis berbayar, berbatik-batik.

Si bapa yang belum pun masuk ke rumah terus menjerit, ‘Siapa punya kerja ni?’ Pembantu rumah yang tersentak dengan jeritan itu berlari keluar. Dia juga beristighfar. .Mukanya merah padam ketakutan tambah-tambah melihat wajah bengis tuannya.

Sekali lagi diajukan pertanyaan keras kepadanya, dia terus mengatakan ‘Tak tahu… !”Saya tak tahu Tuan..!

”Duduk di rumah sepanjang hari tak tahu, apa kau buat?’ herdik siisteri lagi.

Bila anak yang mendengar suara ayahnya, tiba-tiba berlari keluar dari bilik. Dengan penuh manja dia berkata ‘Ita buat ayahhh.. cantik kan !’ katanya menerkam ayahnya ingin bermanja seperti selalu.

Dengan kasih murni seorang anak yang belum memahami apa-apa, menarik lembut poket seluar abahnya, manja.

Si ayah yang hilang sabar merentap ranting kecil pokok bunga raya didepannya, terus dipukul bertalu-talu tapak tangan anaknya. Si anak yang tak mengerti apa-apa terlolong-lolong kesakitan sekaligus ketakutan.

Puas memukul tapak tangan, si ayah memukul pula belakang tangan anaknya. Si ibu cuma mendiamkan diri, mungkin setuju dan berasa puas dengan hukuman yang dikenakan.Pembantu rumah melopong, tak tahu nak buat apa-apa, sungguh kesian dan teramat sedih, namun dia sangat takut .

Si bapa cukup rakus memukul-mukul tangan kanan dan kemudian tangan kiri anaknya. Selepas merasa puas, si bapa masuk ke rumah dituruti si ibu. Pembantu rumah segera memeluk dengan penuh sayang dan duka, cepat-cepat menggendong anak kecil itu, membawanya ke bilik.

Dilihatnya tapak tangan dan belakang tangan si anak kecil calar balar.Menangis teresak-esak keduanya, dalam bilik.Pembantu rumah memandikan anak kecil itu. Sambil menyiram air sambil dia menangis. Anak kecil itu pula terjerit-jerit menahan kepedihan sebaik calar-balar itu terkena air.

Si pembantu rumah kemudian menidurkan anak kecil itu. Si bapa sengaja membiarkan anak itu tidur bersama pembantu rumah.

Keesokkan harinya, kedua-dua belah tangan si anakbengkak. Pembantu rumah mengadu. ‘Sapukan minyak gamat tu!’ balas tuannya, bapa si anak.

Pulang dari kerja, dia tidak melayan anak kecil itu yang menghabiskan masa di bilik pembantu. Si bapa konon mahu mengajar anaknya.

Tiga hari berlalu, si ayah langsung tidak menjenguk anaknya sementara si ibu juga begitu tetapi setiap hari bertanya kepada pembantu rumah. ‘Ita demam… ‘ jawap pembantunya ringkas. ‘Bagi minum panadol tu,’ balas si ibu.

Sebelum si ibu masuk bilik tidur dia menjenguk bilik pembantunya. Apabila dilihat anaknya ita dalam pelukan pembantu rumah, dia menutup semula pintu.

Masuk hari keempat, pembantu rumah memberitahu tuannya bahawa suhu badan Ita terlalu panas. ‘Petang nanti kita bawa ke klinik. Pukul 5.00 siap’ kata majikannya itu.

Sampai waktunya si anak yang longlai dibawa ke klinik. Doktor mengarahnya ia dirujuk ke hospital kerana keadaannya serius. Setelah seminggu di wad pediatrik doktor memanggil bapa dan ibu kanak-kanak itu.

‘Tiada pilihan..’ katanya yang mencadangkan agar kedua-dua tangan kanak-kanak itu dipotong kerana jangkitan yang sudah menjadi gangren sudah terlalu teruk.

‘Ia sudah bernanah, demi nyawanya tangan perlu dipotong dari siku ke bawah’ kata doktor. Si bapa dan ibu bagaikan terkena halilintar mendengar kata-kata itu. Terasa dirinya tunggang terbalik, tapi apalah dapat dikatakan.

Si ibu meraung merangkul si anak. Dengan berat hati dan lelehan air mata isterinya, si bapa terketar-ketar menandatangani surat kebenaran pembedahan.

Keluar dari bilik pembedahan, selepas ubat bius yang dikenakanhabis, si anak menangis kesakitan. Dia juga terpinga-pinga, melihatkedua- dua tangannya berbalut putih.

Direnung muka ayah dan ibunya. Kemudian ke wajah pembantu rumah.Dia mengerutkan dahi melihat mereka semua menangis. Dalam seksaan menahan sakit, si anak yang keletah bersuara dalam linangan air mata…

‘Abah.. Mama… Ita tak buat lagi. Ita tak mau ayah pukul. Ita tak mau jahat. Ita sayang abah.. sayang mama.’ katanya berulang kali membuatkan si ibu gagal menahan rasa.

‘Ita juga sayang Kak Narti..’ katanya memandang wajah pembantu rumah, sekaligus membuatkan gadis dari Surabaya itu meraung seperti histeria.

Tidak seorang pun yang melihat suasana itu tidak menangis…. ‘Abah.. bagilah balik tangan Ita. Buat apa ambil.. Ita janji tak buat lagi! Ita nak makan, macam mana? Nak main macam mana? Ita janji tak conteng kereta lagi,’ katanya bertalu-talu.

Bagaikan gugur jantung si ibu mendengar kata-kata anaknya. Meraunglah dia sekuat hati namun takdir yang sudah terjadi, tiada manusia dapat menahannya..

 Kerana kemarahan yang tak mampu dikawal, akhirnya anak yang kecil, yang tak mengerti apa-apa menjadi mangsa. Dalam mendidik dan membesarkan anak-anak, kita perlu kesabaran yang tinggi. Pukullah dengan penuh kasih sayang, bukan untuk melepaskan geram atau marah...wallaualam..

Sumber

Pelawat Harian